PENUBUHAN RUMAH NGAJI @MASJID BATU 16, RAWANG

RAWANG – Masjid Al-Ehsaniah, Batu 16,  di sini menjadi lokasi Rumah Ngaji untuk memberi peluang penduduk setempat mendekati al-Quran.

Imam masjid, Ustaz Zimi Mohd Ghazali berkata, dengan penubuhan Rumah Ngaji @ Masjid Batu 16 Rawang, beliau berharap dapat mengemaskinikan jadual mengaji al-Quran.

“Sebelum ini, kelas mengaji diadakan di sebelah siang dan malam, mengikut permintaan pelajar yang berusia antara 13 hingga 65 tahun.

“Kini, aktiviti mengaji lebih teratur dengan mengadakan kelas berjadual di dewan tingkat atas masjid. Ruang tersebut boleh memuatkan lebih 100 peserta,” kata beliau yang guru ngaji di masjid tersebut.

Imam masjid, Ustaz Zimi Mohd Ghazali

Majlis perasmian Rumah Ngaji @ Masjid Batu 16 Rawang disempurnakan oleh Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar, bagi mewakili Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Sabtu lalu.

“Rumah Ngaji membawa misi Berinteraksi dengan al-Quran: Baca, Faham dan Amal. Manakala kempen #QuranHour diadakan sepanjang tahun untuk dijadikan budaya dalam kehidupan.

“Melalui Rumah Ngaji dan #QuranHour ini adalah diharapkan akan lahir cinta al-Quran dan pengamalan nilai daripada al-Quran, penjanaan kerangka fikiran dan berakhlak al-Quran,”ujar Mohd Hasnil.

Peserta Forum Kecemerlangan Target Straight A Kecemerlangan Dunia dan Akhirat

Pada hari yang sama, Masjid Al Ehsaniah menjadi tumpuan 220 pelajar yang berusia antara 7 hingga 16 tahun untuk mengikuti Kem Motivasi Kecemerlangan 2017 “Target Straight A”. Program sehari tersebut dianjurkan oleh Biro Dakwah dan Pendidikan, Masjid Al Ehsaniah dan Al-Ghazali Islamic Help (Agih).

Zimi yang juga penyelaras kem tersebut berkata, aktiviti tersebut bertujuan menjana remaja Muslim lebih proaktif, beridealismem, kreatif dan berakhlak melalui teori dan praktikal.

“Peserta juga didedahkan dengan teknik, kaedah dan uslub (disiplin) ilmu dan ibadah serta penyelesaian masalah minat belajar.

“Mereka turut berpeluang untuk mendapat tip belajar cemerlang melalui Slot GPS Bestari dan Sinar Harian. Acara lain turut diadakan seperti Tahsin al-Quran, Tadabbur al-Quran, Modul Maju Diri dan Klinik Memanah,” katanya.

Adun Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib

Majlis penutupan kem tersebut dilakukan oleh Adun Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib, yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri selepas solat Maghrib. Program diteruskan dengan Forum Kecemerlangan “Target Straight A: Kecemerlangan Dunia & Akhirat”.

Panel jemputan ialah pengasas Kaedah Al Badar, Ustaz Syamsul Mohd Nor, pelakon Zulkifli Yahya atau lebih dikenali Zul Yahya dan moderatornya, Ketua Unit Tarbiah, Sel Dakwah Kor Agama Angkatan Tentera (ATM), Mejar Mohd Jihadi Ahmad.

Dari kiri, Mohd Jihadi, Zul Yahya dan Ustaz Shamsul.
Ustaz Hasnil (dua, kiri) mewakili Yayasan Warisan Ummah Ikhlas meraikan pelancaran Rumah Ngaji @ Masjid Batu 16 Rawang
Zul Yahya bersama peserta kanak-kanak dan remaja.